Pencapaian Malaysian Tigers masih boleh dibanggakan

Malaysia mempamerkan aksi membanggakan dalam saingan Piala Dunia 2023 di India. - Foto Facebook Hockey India
Malaysia mempamerkan aksi membanggakan dalam saingan Piala Dunia 2023 di India. - Foto Facebook Hockey India
A
A
A

SKUAD hoki negara menamatkan saingan Piala Dunia 2023 di tempat ke-13 setelah menewaskan Jepun 3-2 dalam klasifikasi tempat ke-13 hingga 16 di Stadium Birsa Munda, Rourkela, India pada Sabtu.

Kedudukan itu masih dianggap baik berbanding edisi 2018 di Bhubaneswar, India apabila Malaysian Tigers yang ketika itu dibimbing Roelant Oltmann menghuni kedudukan ke-15.

Pada edisi kali ini, Malaysia yang kini dibimbing Arul Selvaraj mengakhiri saingan di Bhubaneswar dan Rourkela dengan rekod tiga kemenangan dan tiga kekalahan.

Bagi Arul, beliau tetap menganggap kemenangan ke atas Jepun sesuatu yang baik meskipun barisan kendaliannya gagal mencapai sasaran layak ke peringkat suku akhir.

“Kami bermain enam perlawanan dan menang tiga, kalah dua dan seri satu (2-2 menentang Sepanyol sebelum tewas 3-4 menerusi penentuan penalti shoot-out).

“Saya masih berbangga dengan pemain-pemain kerana ia bukan mudah. Setiap perlawanan, pemain-pemain perlu bekerja keras dan mereka berjuang sehingga penghujung,“ katanya sejurus tamat aksi menentang Jepun.

Pada Khamis, hasrat skuad Malaysian Tigers untuk menamatkan saingan di tempat kesembilan lebur selepas tumpas 3-6 kepada Afrika Selatan dalam aksi penentuan tempat kesembilan hingga ke-16.

Dalam aksi crossover sebelum itu, Malaysia tumbang di tangan Sepanyol menerusi penentuan penalti shoot-out, sekali gus gagal menyambar tiket ke suku akhir.

Pada aksi peringkat Kumpulan C, Malaysia bermula langkah kiri apabila tewas 0-4 kepada Belanda sebelum membenam Chile dan New Zealand dengan keputusan 3-2 untuk muncul naib juara kumpulan.

Dalam aksi klasifikasi terakhir menentang Jepun, penyerang muda, Shello Silverius meledak dua gol buat Malaysian Tigers, manakala Shahmie Irfan Suhaimi menyumbang satu gol.

“Daripada 24 suku (permainan), kami hanya mengalami dua suku (pertama) yang teruk ketika menentang Afrika Selatan. Kekalahan itu meletakkan kami di kedudukan (klasifikasi) bawah,“ jelas Arul.