Pemandu mabuk, pesalah trafik berleluasa jika dedah lokasi SJR

Azmi (kanan) bersama Eng Lai (dua dari kiri) mengambil kesempatan menyampaikan cenderahati kepada orang awam.
Azmi (kanan) bersama Eng Lai (dua dari kiri) mengambil kesempatan menyampaikan cenderahati kepada orang awam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis menggesa orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat lokasi sekatan jalan raya (SJR) menerusi aplikasi dalam talian khususnya Waze.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, perbuatan berkongsi lokasi operasi pihak berkuasa berkenaan akan membantutkan usaha penguatkuasaan terutama terhadap mereka yang ingkar.

"Orang ramai berpendapat dengan memaparkan keberadaan pihak polis, pemandu akan lebih cenderung untuk memandu dalam keadaan berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan.

"Walaupun ianya dilihat memberi manfaat kepada pemandu, namun dalam masa yang sama ia menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu yang ingkar terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik yang lain.

"Pengguna jalan raya harus sedar bahaya yang akan dihadapi disebabkan oleh kecuaian daripada pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk melanggar lampu isyarat, memandu melawan arus dan lain-lain lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis High Profile Policing di taman hidupan liar, 99 Wonderland Park, Selayang di sini pada Sabtu.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai; Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin dan Pengerusi Eksekutif JL 99 Group, Datuk Seri Jeff Lee.

Tambah Azmi, tindakan mendedahkan lokasi SJR mendatangkan lebih banyak kesan negatif kerana jika pemandu mabuk dan individu yang ingkar peraturan trafik terus dibiarkan ianya akan mendatangkan bahaya kepada semua pengguna jalan raya.

"Besarlah harapan saya agar orang ramai terutamanya pengguna jalan raya memberi kerjasama kepada pihak polis daripada cuba membantu mereka-mereka yang melakukan kesalahan jalan raya ini," ujar beliau.