KJ bakal CEO JDT?

Story Instagram TMJ berhubung 'tawaran' kepada Khairy. - FOTO: IG TMJ
Story Instagram TMJ berhubung 'tawaran' kepada Khairy. - FOTO: IG TMJ
A
A
A

[DIKEMAS KINI] TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim seakan-akan memberi bayangan menawarkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta'zim (JDT).

"CEO masa depan JDT dan penasihat belia Johor," tulis Tunku Ismail yang juga pemilik JDT di laman Story Instragram baginda pada Sabtu.

'Tawaran' Tunku Ismail itu ternyata menarik perhatian warga maya terutamanya peminat bola sepak tempatan.

Dalam pada itu, Khairy tidak mengambil masa lama untuk memberikan jawapan balas 'tawaran' daripada TMJ.

Dalam Story Instragramnya, Khairy pula menulis: "One door closes, others will open (satu pintu tertutup, pintu lain terbuka). Rezeki di tangan ALLAH."

Untuk rekod, Khairy atau lebih dikenali dengan panggilan KJ dianggap tidak asing dalam sukan bola sepak.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu pernah memegang portfolio sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2007.

Ketika menduduki kerusi Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018, beliau mencetuskan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bagi melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat.

Selain menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan, Khairy pernah menggalas portfolio sebagai Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pada Jumaat, Majlis Kerja Tertinggi UMNO memecat Khairy disebabkan pelanggaran disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.