'PN sedia hadapi PRN bila-bila masa' - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

MUAR – [DIKEMASKINI] Perikatan Nasional (PN) bersedia bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, ketika ini rundingan sudah pun dimulakan terutamanya di peringkat negeri dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

Malah katanya, jentera kesemua parti juga dilihat telah bersedia dan hanya menunggu tarikh PRN diadakan.

“Kita bersedia (untuk PRN) ini bila-bila masa...saya pun dah bincang dengan Tan Sri Abdul Hadi (Presiden Pas) tentang soal itu yang berkemungkinan akan saya putuskan dalam mesyuarat kita minggu depan.

“Kita nak mulakan rundingan kerusi di negeri-negeri terbabit dan ikut pengalaman dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, memang tak ada masalah langsung.

“Kita bincang dalam masa beberapa hari dan harap semua perkara dapat diselesaikan kerana kita ada semangat muhibah dan kerjasama,” katanya ketika menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai persiapan bagi mengharungi enam PRN kelak.

Sementara itu, mengulas mengenai tarikh dijangka PRN berkenaan diadakan, Ahli parlimen Pagoh itu berkata, pihaknya masih belum mendapat gambaran berhubung perkara berkenaan.

“Soal nak tentukan tarikh, saya fikir sebahagian negeri kita dipimpin oleh Pas, jadi kita akan dapatkan gambaran bila tarikh yang sesuai kerana jentera (pilihan raya) kami dah bekerja dengan baik masa PRU.

“Mereka sudah bersedia untuk menghadapi PRN, cuma nak kena perkukuhkan balik,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak enam negeri melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan mengadakan PRN tahun ini berikutan masih belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing walaupun Kerajaan Perpaduan sudah pun dibentuk selepas PRU15 lalu.