Malaysia akhiri Piala Dunia di tempat ke-13

Shello yang meledak dua gol dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. - Foto Facebook MHC
Shello yang meledak dua gol dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. - Foto Facebook MHC
A
A
A

SKUAD hoki negara menamatkan saingan Piala Dunia 2023 di tempat ke-13 setelah menewaskan Jepun, 3-2 dalam klasifikasi terakhir di Stadium Birsa Munda, Rourkela, India pada Sabtu.

Kedudukan itu lebih baik berbanding edisi 2018 di Bhubaneswar, India apabila Malaysia menghuni kedudukan ke-15.

Pemain sensasi, Shello Silverius meledak dua gol buat Malaysian Tigers dan turut mencatat nama selaku penjaring ialah pemain muda berusia 20 tahun, Shahmie Irfan Suhaimi.

Tuah juga buat Shello apabila diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Kejayaan itu melebarkan rekod Malaysia kepada empat kemenangan tahun lalu.

Skuad negara menang 5-0 pada Piala Asia di Jakarta (Mei), 4-2, pada Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh (November) dan 5-1 pada Piala Negara-Negara di Afrika Selatan, Disember lalu.

Malaysia yang dibimbing Arul Selvaraj membuka tirai jaringan menerusi Shello yang membuat susulan hasil pukulan sudut penalti pada minit kelapan.

Jepun kemudian meningkatkan tahap intensiti serangan dan ia membuahkan hasil apabila mereka berjaya meledak dua jaringan menerusi gol padang dalam tempoh lapan minit.

Kaito Tanaka menyamakan kedudukan pada minit ke-24 dan disusuli lapan minit kemudian menerusi jaringan Seren Tanaka untuk meletakkan Jepun di depan.

Namun kegembiraan skuad negara matahari terbit itu tidak berpanjangan apabila Malaysia segera menyamakan kedudukan pada minit ke-32 sekali lagi menerusi Shello.

Jaringan tersebut menyuntik semangat skuad Malaysian Tigers untuk menggandakan asakan dan usaha itu membuahkan hasil menerusi gol padang Shahmie pada minit ke-34.

Memasuki suku keempat Jepun enggan berputus asa untuk memburu gol penyamaan, namun benteng negara ampun bertahan dan keputusan kekal 3-2 sehingga wisel penamat.

Pada Khamis hasrat skuad Speedy Tigers untuk menamatkan saingan di tempat kesembilan lebur selepas tumpas kepada Afrika Selatan 3-6 pada aksi penentuan tempat kesembilan hingga ke-16.