'Kalau betul cintakan parti merayulah' - Puad Zarkashi

Puad Zarkashi
Puad Zarkashi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Tan Sri Noh Omar, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan pemimpin serta ahli UMNO lain yang digantung atau dipecat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Jumaat boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, mereka boleh berbuat demikian sekiranya masih ada perasaan cintakan parti.

Beliau mendakwa, keputusan MKT itu merupakan satu keperluan selepas tindakan ‘tikam belakang’ dilakukan terhadap parti sendiri.

"Dipecat amat menyakitkan tetapi keperluan. Kalau betul cintakan parti merayulah. Kalau tidak mahu merayu tunggulah enam tahun. Kecuali mereka sudah ada pilihan lain. Buatlah pilihan.

"Mereka (sebelum ini) duduk di luar pagar. Ada kalanya tikam parti dari belakang. Kini mereka dipecat atau digantung. Apa salahnya mereka sekali lagi duduk di luar pagar," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

MKT UMNO pada Jumaat menggantung selama enam tahun keahlian Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO; Shahril Sufian Hamdan (bekas Ketua Penerangan UMNO); Datuk Maulizan Bujang (Ketua UMNO Bahagian Tebrau) dan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif.

Selain itu, MKT UMNO memecat Noh (bekas Pengerusi UMNO Selangor) dan Khairy (bekas Ketua Pemuda UMNO).

Mengulas lanjut, Puad berkata, UMNO perlu melakukan tindakan berani tersebut bagi mengimbangi keberanian pemimpin-pemimpin berkenaan yang berani memfitnah parti sendiri.

Menurutnya, tindakan memecat ahli dan pemimpin yang melawan arus turut diamalkan parti lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Bersatu juga memecat Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukrhiz Mahathir. PKR pula memecat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tian Chua dan Datuk Seri Zuraida Kamarudin. Tiada yang luar biasa," katanya.

Berkenaan dakwaan bahawa keputusan UMNO itu tidak demokratik, Puad berkata, perkara berkenaan diputuskan atas syor Lembaga Disiplin parti dan bukannya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas Puad, dakwaan Noh bahawa keputusan pemecatan dan penggantungan beberapa ahli UMNO adalah keputusan Presiden adalah tidak tepat.

"Noh Omar bukan dipecat kerana isu usul tiada pertandingan jawatan nombor satu dan dua. Dia dituduh sabotaj parti semasa PRU15. Ada 16 laporan sabotaj terhadap Noh.

"Tidak pasti kenapa Khairy dipecat. Tetapi Khairy melampau. Fitnah pengundi hantu semasa PAU UMNO 2022 ada niat jahat," tambahnya.