Agong, Permaisuri berangkat ke Karnival MAIWP 2023

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga, kiri) berkenan menyempurnakan perasmian Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka pada Sabtu. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga, kiri) berkenan menyempurnakan perasmian Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Sabtu berkenan berangkat ke Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023 di Dataran Merdeka.

Pada majlis berkenaan, Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan pelancaran karnival yang julung kali diadakan itu.

Seri Paduka kemudian mengurniakan anugerah Ikon Usahawan MAIWP kepada Robiatul Adawiah Ibrahim, pengusaha produk durian krep jenama Rabi, hasil bimbingan dan didikan daripada MAIWP.

Baginda turut mengurniakan anugerah Ikon Pendidikan MAIWP kepada Dr Muhammad Ameerullah Sahudin yang merupakan pensyarah kanan di Jabatan Kimia, Universiti Malaya.

Muhammad Ameerullah merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah MAIWP yang menerima bantuan zakat fisabilillah MAIWP sepanjang persekolahan dan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Kedua-dua penerima anugerah itu membawa pulang sijil penghargaan, plak serta cek berjumlah RM3,000.

Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka berdua berkenan meluangkan masa meninjau dan melawat reruai gerai jualan usahawan MAIWP serta menyantuni pengunjung karnival.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, memberi peluang kepada masyarakat untuk mendekati MAIWP.

Ia menggabungkan pameran jualan usahawan asnaf, perkhidmatan daripada institusi pendidikan dan kesihatan di bawah MAIWP itu serta pelbagai aktiviti lain.

Bertemakan Memperkasa dan Berdaya Usaha-Menuju 50 Tahun Kecemerlangan MAIWP, sebanyak 100 reruai disediakan di karnival itu yang mempamerkan produk usahawan asnaf MAIWP. Turut membuka reruai ialah rakan strategik agensi itu.

Malam ini, pengunjung akan disajikan persembahan Tempur Tanpa Senjata oleh Tentera Darat Malaysia dan persembahan kumpulan nasyid popular Rabbani.

Antara acara yang berlangsung esok ialah MAIWP Run 2023 dan Walimatul Urus Perdana membabitkan 100 pasangan pengantin terdiri daripada asnaf, fakir, miskin dan saudara baharu yang akan diarak menaiki bas Hop on Hop Off KL mengelilingi Jalan Raja Laut hingga ke tapak karnival di Dataran Merdeka, untuk disandingkan di pelamin.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar. - Bernama