Potter kukuh semangat pemain ala tentera

Potter membawa pemain bertemu tentera dalam usaha mengukuhkan semangat berpasukan Chelsea. - Foto EPA
Potter membawa pemain bertemu tentera dalam usaha mengukuhkan semangat berpasukan Chelsea. - Foto EPA
A
A
A

CHELSEA mencari kelainan bagi mengukuhkan semangat berpasukan apabila mengunjungi kem tentera berhampiran bandar Liss di Hampshire, London baru-baru ni.

Jurulatihnya, Graham Potter yang kerap menerapkan idea di luar kotak membawa para pemain bertemu tentera bagi merapatkan hubungan serta membantu muka-muka baharu menyesuaikan diri dengan lebih cepat.

Bagaimanapun tiada latihan fizikal, sebaliknya Potter menggunakan peluang itu untuk melatih minda anak-anak buahnya untuk lebih kental dan meningkatkan semangat kerjasama dalam pasukan.

Ketika melatih kelab Sweden, Ostersunds antara tahun 2011 hingga 2018, Potter mengarahkan para pemain menari balet, menyanyi lagu rap tradisional Finland dan menulis pertunjukan teater Vikings.

The Blues mempunyai banyak masa pada hujung minggu setelah kelab London itu tersingkir daripada saingan Piala FA musim ini.

Peluang tersebut digunakan Potter untuk menguatkan mental serta fizikal pemain.

Chelsea menandatangani enam pemain baharu bulan ini termasuk pemain pinjaman, Joao Felix.

“Kami perlu menyatukan kumpulan ini. Ada beberapa muka baharu. Ia bukan hanya semata-mata aksi di atas padang, anda perlu berinteraksi sebagai satu pasukan.

“Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan dan kami akan memanfaatkan tempoh dua minggu ini,” katanya.

Potter mempunyai beberapa perancangan untuk minggu depan, namun masih menjadi rahsia pengendali itu.

Chelsea hanya menang dua daripada 10 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan dan ketika ini menghuni tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris.