'Digantung tanpa dipanggil, diberi peluang bela diri' - Maulizan

Maulizan
Maulizan
A
A
A

JOHOR BAHRU- Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang menjelaskan beliau tidak dipanggil lembaga displin atau diberi peluang membela diri berhubung tindakan penggantungan selama enam tahun yang dikenakan parti ke atasnya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Tiram, itu reda dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat.

"Saya reda walaupun saya sangat sayang parti yang banyak jasanya kepada agama, bangsa dan negara.

"Selama 42 tahun saya menjadi ahli dan saya bermula daripada peringkat cawangan dan bergiat dalam aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan.

"Mungkin silap saya kerana kadang kala tidak sehaluan dengan Presiden. Tak apalah, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku," katanya menerusi muat naik di laman Facebooknya pada Sabtu.

Beliau turut mendoakan agar UMNO pulih semula dengan pemimpin dan kepimpinan yang diterima bukan sahaja ahli parti tetapi pengundi serta rakyat.

"Semoga UMNO dapat kembalikan semula roh perjuangan yang berlandaskan asas penubuhan parti iaitu untuk menjaga agama, membela bangsa seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan memajukan negara berbilang kaum yang tercinta ini.

"Saya mohon maaf kepada semua yang mengenali saya baik dalam parti atau pun di luar sekiranya sepanjang khidmat saya sebagai pemimpin kerdil ini terdapat sebarang kesalahan dan kesilapan yang tak disengajakan mahupun kekurangan yang ada pada diri saya," ujarnya.

Selain Maulizan, turut digantung selama enam tahun ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak tunduk dipecat daripada UMNO: KJ

ARTIKEL BERKAITAN:Keputusan Presiden, MKT lemahkan kebangkitan UMNO

ARTIKEL BERKAITAN:UMNO pecat KJ, Hishammuddin dan Shahril digantung keahlian

ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] UMNO gantung keahlian Noh Omar

ARTIKEL BERKAITAN:Noh Omar dipecat selepas pertikai penggantungannya

ARTIKEL BERKAITAN:Noh hadir mesyuarat MKT UMNO

ARTIKEL BERKAITAN:Pas Selangor terbuka terima Noh, ahli UMNO

ARTIKEL BERKAITAN:Pembersihan bebaskan UMNO dari 'gunting dalam lipatan'

ARTIKEL BERKAITAN:Pembersihan UMNO: 'Jangan pecat bekas pemimpin'