Pas Selangor terbuka terima Noh, ahli UMNO

Roslan, Noh Omar
Roslan, Noh Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor terbuka menerima bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyertai parti itu dan bersama-sama membantu Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada tahun ini.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, meskipun tiada pelawaan secara rasmi daripada Pas setakat ini, namun beliau yakin Noh mampu membantu PN untuk menawan kembali negeri ini.

"Konsep naratif politik Pas adalah penyatuan ummah dan kita bersedia untuk menerima pemimpin UMNO bersama-sama Pas dalam perjuangan ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Roslan Shahir berkata, dua bekas pemimpin UMNO iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang bertanding di Parlimen mewakili Pas masing-masing menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

"Pas bersedia buka pintu jika hal ini berlaku di Selangor, kita yakin dapat perkuat dan mantapkan parti untuk menumbangkan PH," jelas beliau.

Menurutnya, gelombang kemasukan ahli UMNO yang menyertai Pas semakin ketara sejak akhir-akhir ini.

"Baru-baru ini seorang Naib Ketua UMNO Cawangan dan beberapa ahli lain di Sabak Bernam menyertai Pas dan kita telah meluluskan keahlian mereka.

"Kami mengajak rakyat di negeri ini supaya bersama-sama berubah memilih Pas dan PN untuk mengambil alih kerajaan Selangor," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Noh bersedia menghadap Lembaga Disiplin UMNO dan rela dipecat kerana bersuara dan mempertahankan prinsip demi parti itu.