Peniaga dibelasah jalin hubungan dengan isteri orang

Seorang peniaga cedera akibat dipukul dengan penyapu dan getah paip selepas didakwa menjalinkan hubungan dengan isteri orang dalam kejadian di sini Isnin lepas. - Gambar hiasan
Seorang peniaga cedera akibat dipukul dengan penyapu dan getah paip selepas didakwa menjalinkan hubungan dengan isteri orang dalam kejadian di sini Isnin lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

JEMPOL - Seorang peniaga cedera akibat dipukul dengan penyapu dan getah paip selepas didakwa menjalinkan hubungan dengan isteri orang dalam kejadian di sini Isnin lepas.

Menurut sumber, lebih malang lagi, wang berjumlah RM14,000 dalam akaun bank mangsa turut dikebas oleh suspek termasuk suami wanita berkenaan.

"Kejadian bermula apabila mangsa berusia 20-an berkenalan dengan isteri orang melalui aplikasi WhatsApp lebih kurang dua bulan.

"Hubungan terlarang itu telah diketahui suami wanita terbabit (suspek) dan mangsa diminta datang ke rumah suspek," kata sumber itu.

Ujar sumber, sebaik tiba sekitar jam 1 pagi, mangsa telah dipukul oleh suami wanita itu dan lima ahli keluarga suspek dengan penyapu, batang cangkul serta getah paip di bahagian badan, kepala selain ditumbuk pada bahagian mata.

Jelas sumber itu lagi, suspek kemudiannya telah meminta kad bank dan nombor pin milik mangsa lalu mengeluarkan wang sebanyak RM15,000.

"Suspek telah mengambil wang sebanyak RM14,000 sebagai ganti rugi telefon yang diberikan isteri suspek kepadanya dan menyerahkan RM1,000 kepada mangsa,” katanya.

Kata sumber itu lagi, kesemua enam suspek berusia antara 17 hingga 28 tahun telah ditahan polis dan direman bermula 24 Januari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kes masih disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta 384 Kanun Keseksaan.