Polis ambil langkah proaktif bantu penduduk hadapi banjir

Pemantauan yang dilakukan anggota polis IPD Kota Tinggi di lokasi banjir.
Pemantauan yang dilakukan anggota polis IPD Kota Tinggi di lokasi banjir.
A
A
A

KOTA TINGGI – Polis Kota Tinggi sentiasa bersedia terutamanya dalam mengambil langka proaktif bagi membantu masyarakat setempat susulan bencana banjir yang berlaku ketika ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya juga sentiasa meneliti perkembangan terkini bencana berkenaan khususnya melibatkan kawasan-kawasan terjejas.

“Setakat ini, pemantauan di kawasan terkesan banjir seperti di Jalan Balau, Taman Desaru Utama dan kawasan sekitarnya mendapati keadaan telah pun beransur pulih dan susulan itu pihaknya dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi bersetuju menutup empat pusat pemindahan sementara (PPS) di sini.

“Selain itu, laluan di Kilometer (KM) 40 Jalan Johor Bahru – Mersing (Kuari Panti) telah dibuka semula kepada lalu lintas mulai jam 11 pagi pada Jumaat berikutan limpahan air di lokasi berkenaan menunjukkan trend menyurut dan selamat untuk digunakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Hussin berkata, terdapat dua laluan yang masih ditutup terutamanya bagi kegunaan kenderaan ringan iaitu melibatkan Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) dan jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas (Sungai Semalok) yang masih dinaiki air setinggi 0.65 meter dan 0.42 meter.

Malah katanya, jalan utama menghala ke jambatan Kampung Rantau, Bukit Besar juga masih ditutup kepada semua kenderaan kerana kedalaman air di kawasan terbabit mencecah 1.2 meter (Jalan Kampung).

“Polis berharap agar kesemua pemandu berhati-hati ketika hari hujan dan ketika melalui kawasan air yang bertakung.

“Selain itu, ibu bapa juga dinasihatkan untuk mengambil langkah bersesuaian bagi mencegah anak-anak dalam jagaan mereka bermain di kawasan banjir,” katanya.