Pearly-Thinaah raih slot separuh akhir

Pearly (depan) dan Thinaah menang ke atas pasangan China dalam saingan suku akhir Masters Indonesia pada Jumaat. - Foto FB BAM
Pearly (depan) dan Thinaah menang ke atas pasangan China dalam saingan suku akhir Masters Indonesia pada Jumaat. - Foto FB BAM
A
A
A

BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir Masters Indonesia setelah mengalahkan Li Win Mei-Liu Xuan Xuan dari China yang menghuni ranking ke-93 dunia di Jakarta pada Jumaat.

Pasangan negara yang menjadi pilihan keenam kejohanan mudah menewaskan Win Mei-Xuan Xuan 21-10, 21-12 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Istora Senayan, Jakarta.

Pearly-Thinaah yang berada di kedudukan keenam dunia menguasai permainan pada set pertama apabila mendahului 13-10 sebelum meraih lapan mata berturut-turut untuk menang 21-10.

Namun mereka diberi tentangan sengit pada set berikutnya apabila mata terikat 10-10, namun Pearly dan Thinaah terus mara untuk meraih kemenangan selesa 21-12 dalam tempoh 37 minit permainan.

Pertemuan dengan Win Mei-Xuan Xuan itu adalah yang pertama buat Pearly-Thinaah.

Kemenangan itu menjadi kemaraan ke separuh akhir buat kali kedua berturut-turut selepas mereka turut melangkah ke kelompok empat terbaik di Terbuka India minggu lalu.

Bagaimanapun, impian pasangan itu mara ke final tersekat apabila tewas kepada pasangan nombor dua dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 14-21, 16-21.

Pearly-Thinaah akan melayan pemenang di antara beregu India, Tanisha Crasto-Ashwini Ponappa dan gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota bagi aksi separuh pada Sabtu.

Pada musim lalu, Pearly-Thinaah berjaya meraih gelaran di Terbuka Perancis dan pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022.