Kes 1MDB: Saksi mengaku gagal kendali akaun Najib

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Pengurus Perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa beliau gagal untuk mengendalikan akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Joanna Yu Ging Ping, 52, berkata, ini kerana beliau tidak berhubung terus dengan bekas Perdana Menteri itu membabitkan transaksi akaun bank itu.

Saksi pendakwaan ke-41 (SP-41) itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam prosiding kes suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Joanna berkata, sebarang urusan perbankan melibatkan pemimpin UMNO ini dibuat menerusi ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Muhammad Shafee: Adakah Najib diminta menandatangani sebarang borang yang menunjukkan bahawa beliau seorang yang terdedah secara politik (PEP)?

Joanna: Tidak pasti kerana ia membabitkan urusan di bahagian cawangan, ia tidak pernah ditunjukkan pada saya malah saya tiada ada mempunyai akses kepada sistem akaun semasa AmBank.

Muhammad Shafee: Setuju atau tidak, kamu atau AmBank tidak beritahu pada Najib, mengenai transaksi wang berjumlah AS$800 juta yang masuk ke akaun peribadinya.

Joanna: Ya.

Muhammad Shafee: Kamu tidak memaklumkan kepada pelanggan (Najib), pada bila-bila masa atau menyatakan “Encik PM, saya tidak selesa dengan jumlah ini, ia kelihatan tidak betul”.

Joanna: Saya tidak maklumkannya, saya tidak rasa bank ada buat begitu.

Muhammmad Shafee: Adakah pihak bank memaklumkan pada Najib, ada perkara yang tidak kena?

Joanna: Tidak.

Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.