Pulau Pinang, Johor kuasai eksport negara

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 30.8 peratus. - Gambar hiasan
Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 30.8 peratus. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 30.8 peratus, diikuti Johor (19.2 peratus), Selangor (17.8 peratus), Sarawak (9.1 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4.7 peratus).

Sementara itu, bagi import, Selangor merupakan penyumbang utama dengan 27.2 peratus, diikuti Pulau Pinang (21.9 peratus), Johor (20.8 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6.6 peratus) dan Kedah (5.8 peratus).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pada Disember 2022 eksport lebih tinggi dicatatkan di kebanyakan negeri seperti Johor (RM4.3 bilion), Selangor (RM1.4 bilion) dan Sarawak (RM2.2 bilion).

"Walau bagaimanapun, import menyusut di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (-RM468.3 juta), Pahang (-RM170.8 juta), Kedah (-RM121.6 juta) dan Kelantan (-RM30.4 juta)," katanya dalam satu kenyataan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Disember 2022 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Jumaat.

Menurut Mohd Uzir, jumlah dagangan Malaysia pada Disember 2022 meningkat sebanyak 8.6 peratus tahun ke tahun kepada RM236.0 bilion.

"Dalam Statistik Eksport Import Mengikut Negeri, eksport meningkat 6.0 peratus iaitu bernilai RM131.9 bilion tahun ke tahun pada bulan tersebut manakala, import naik 12.0 peratus tahun ke tahun yang bernilai RM104.1 bilion.

"Bagaimanapun, eksport merosot di beberapa negeri seperti Sabah (-RM1.7 bilion), Pahang (-RM563.3 juta) dan Terengganu (-RM531.0 juta)," katanya.

Tambah beliau, peningkatan jumlah import didorong oleh import yang lebih tinggi oleh Pulau Pinang (RM680.7 juta), Johor (RM5.1 bilion) dan Selangor RM2.7 bilion).