Sultan Johor dipersembah tiga projek tebatan banjir

Sultan Ibrahim menerima menghadap Nik Nazmi yang mempersembahkan cadangan projek tebatan banjir di negeri ini.
Sultan Ibrahim menerima menghadap Nik Nazmi yang mempersembahkan cadangan projek tebatan banjir di negeri ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipersembahkan cadangan projek tebatan banjir melibatkan daerah Segamat, Batu Pahat dan Kota Tinggi.

Sebelum itu, baginda berkenan menerima menghadap Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam pertemuan yang berlangsung di Johor Bahru itu, Nik Nazmi turut mempersembahkan situasi banjir di negeri ini.

"Projek tebatan banjir itu akan segera dilaksanakan dalam usaha mengurangkan risiko banjir yang sering melanda beberapa daerah di negeri ini," katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Jumaat.

Hadir sama pada pertemuan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Rosli Isa.

Setakat jam 12 tengah hari pada Jumaat, bilangan mangsa banjir di negeri ini seramai 4,532 orang ditempatkan di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan tujuh daerah.