Pellistri dapat perhatian Ten Hag

Pellistri
Pellistri
A
A
A

KEHADIRAN bintang muda Manchester United, Facundo Pellistri dari Uruguay diyakini memberi lebih pilihan kepada The Red Devils dalam mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Malah pengendali Manchester United, Erik ten Hag menyifatkan Pellistri alternatif kepada gaya permainan Antony yang merupakan antara tonggak kelab tersebut musim ini.

“Kami telah melihat beberapa kerja fizikalnya, dia mempunyai pergerakan dan larian yang baik.

“Saya fikir dia juga seorang pemain bola sepak yang boleh bermain dengan sangat baik kerana memiliki keyakinan ketika bersama dengan bola.

“Dia lain sikit berbanding dengan Antony yang bermain di posisi sayap kanan. Dia juga mencipta peluang baik pada penghujung perlawanan menentang Nottingham Forest apabila melintasi Wout Weghorst,” katanya selepas ditanya sama ada Pellistri akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Reading.

Manchester United akan melayan kunjungan kelab Liga Kejuaraan Reading kendalian Paul Ince pada Pusingan Keempat Piala FA di Stadium Old Trafford, awal pagi Ahad.

Untuk rekod, aksi berdepan Forest merupakan penampilan kompetitif kedua Pellistri untuk Manchester United sejak berpindah dari Penarol pada 2020, selepas dua tempoh pinjaman di Alaves.

Dalam dua perlawanan menentang Nottingham Forest dan Charlton dia telah mencipta tiga peluang dalam 25 minit masa permainan.