Manfaat 5G dalam tempoh 3 tahun akan datang: PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada majlis pelancaran 5G Malaysia di Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin bahawa Malaysia mampu memanfaatkan teknologi 5G dalam tiga tahun akan datang.

Ia boleh dicapai dengan persiapan yang diperlukan berada di tempatnya untuk memudahkan transformasi teknologi.

“Malaysia mampu untuk memanfaatkan 5G dalam tiga tahun akan datang, membolehkan negara ini melangkah lebih jauh dan melonjakkan ekonominya ke arah pertumbuhan yang kukuh,” katanya pada pelancaran Pameran 5G Malaysia, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, Malaysia sudah membangun dan masih ada ruang untuk peningkatan, dan tambahan inisiatif pada hari ini adalah satu batu sudut asas untuk Malaysia mara ke dalam era baharu dan satu asas penting untuk kekal relevan dan berdaya saing.

“Perniagaan adalah pemegang kepentingan utama kami dan kami perlu terus mempertingkat persekitaran supaya perniagaan menjadi maju.

ARTIKEL BERKAITAN:

5G beri impak positif pertumbuhan ekonomi negara

Kerajaan pastikan harga teknologi 5G munasabah

"Inilah di mana kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan satu persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan dengan memastikan kesalinghubungan yang sentiasa ada, menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan menubuhkan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan pada November 2018 untuk mengenal pasti potensi kegunaan 5G, membincangkan halangan untuk menggunakan teknologi baharu ini dan menyediakan idea dan penyelesaian untuk pelaksanaan 5G di dalam negara ini, katanya. Dr Mahathir berkata, 5G menandakan satu titik fleksi dalam komunikasi akan datang yang membawa negara ke dalam satu dimensi yang kadang-kadang melampaui imaginasi.

Beliau berkata, ketika beliau melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun 1996 untuk menggalakkan kebangkitan dan kemunculan industri teknologi tempatan, ia adalah waktu dunia menghadapi perubahan yang tidak pernah berlaku dahulu.

“Cetusan era maklumat, sempadan semakin menghilang kerana mudahnya komunikasi sejagat, aliran modal, pergerakan barangan dan manusia merentas dunia,”katanya.

Dr Mahathir berkata, pada masa itu Malaysia dibayangkan mempunyai kemampuan menjadi pengeksport teknologi.

Tambahan pula beliau berkata MSC adalah bagi menunjukkan kepada rakyat Malaysia kemungkinan teknologi yang wujud dan potensi yang ditawarkannya yang berterusan.

“Sejak penubuhannya pada 1996, MSC telah menjana lebih RM47 bilion dalam perolehan daripada lebih 3,000 syarikat dan menyediakan lebih daripada 160,000 pekerjaan,”katanya.

Untuk ini, Dr Mahathir berkata peluang untuk pertumbuhan kekal, kebanyakannya kerana sempadan ekonomi digital yang terus berkembang.

“Semasa MSC diperkenalkan, internet baharu mula tumbuh. Hari ini, kami menghadapi satu lagi perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Dicetuskan oleh Revolusi Perindustrian Keempat, dunia tanpa sempadan kini mula membentuk dirinya kepada era kesalinghubungan tanpa sempadan yang mana mesin boleh berkomunikasi tanpa intervensi manusia menerusi ‘Internet of Things’ (IOT),” katanya.

Ini, kata beliau membolehkan automasi menjadi lebih bijak dan seterusnya memacu pelbagai perkhidmatan dan aplikasi yang berterusan. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia