Sorok ganja bernilai RM75,000 dalam semak

Ahmad Shukri (tengah) menunjukkan ketulan ganja mampat yang dirampas dalam serbuan pada Sabtu lalu.
Ahmad Shukri (tengah) menunjukkan ketulan ganja mampat yang dirampas dalam serbuan pada Sabtu lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang tokan dadah berputih mata apabila ganja mampat bernilai hampir RM75,000 yang dibawa masuk daripada Thailand dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kilometer 3, Lebuh Raya Sultan Abdul Halim, di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, serbuan pada jam 11.10 malam itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Katanya, tokan yang juga lelaki tempatan berusia 48 tahun itu ditahan bersama dua lelaki warganegara Thailand berusia 45 dan 34 tahun yang disyaki bertindak sebagai 'transporter'.

"Ketika serbuan dijalankan, polis terlebih dulu menahan lelaki tempatan yang juga seorang pekebun itu di depan rumah yang dipercayai miliknya.

"Pemeriksaan lanjut kemudian membawa kepada penahanan dua lelaki Thailand terbabit yang berada di dalam rumah," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini pada Jumaat.

Menurutnya, hasil soal siasat lelaki Thailand berusia 45 tahun itu kemudiannya membawa polis ke kawasan semak di depan rumah dan menunjukkan dua bungkusan guni berwarna kuning di situ.

"Hasil pemeriksaan dalam kedua-dua guni tersebut menemukan 29 ketulan mampat ganja seberat kira-kira 29.8 kilogram," katanya.

Tambah Ahmad Shukri, kesemua dadah itu dipercayai diseludup dari Thailand melalui jalan darat.

"Sekiranya terlepas ke pasaran, ganja yang dianggarkan bernilai RM74,675 boleh digunakan kira-kira 130,000 penagih di negeri ini," katanya.

Katanya, selain dadah, pihak polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan wang tunai berjumlah RM6,000.

"Ujian urin yang dijalankan mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis methamphetamine dan tetra hydrocannibol (THC)," ujarnya.

Tambah Ahmad Shukri, ketiga-tiga lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 28 Januari dan polis akan memohon dari mahkamah agar tempoh reman itu ditambah.

"Kes tersebut disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.