Velodrom Rakyat di Ipoh perlu dilengkapi bumbung

Pemasangan bumbung di Velodrom Rakyat, Ipoh mampu melindungi trek kayu daripada rosak. Foto Agensi
Pemasangan bumbung di Velodrom Rakyat, Ipoh mampu melindungi trek kayu daripada rosak. Foto Agensi
A
A
A

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat mempertimbangkan untuk memasang bumbung pada Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak.

Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pemasangan bumbung di sekeliling trek velodrom yang pernah menjalani proses pengubahsuaian pada 2016 penting bagi melindungi trek kayu itu daripada mengalami sebarang kerosakan pada masa depan.

"Walaupun kontraktor yang ubah suai velodrom itu beri jaminan trek kayu akan tahan sehingga 20 tahun, namun kebelakangan ini sudah nampak ada beberapa kawasan mula comot dan bertukar kehitaman kerana keadaan velodrom yang terbuka lalu terdedah kepada cuaca panas atau hujan.

"Kami pernah buat permohonan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bina bumbung sederhana di velodrom berkenaan, namun tidak sempat dilaksanakan selain terdapat beberapa pertukaran menteri.

"Kami akan buat permohonan semula kepada menteri baharu, Hannah Yeoh," katanya.

Justeru beliau berharap agar KBS dapat mempertimbangkan permohonan itu kelak memandangkan Hannah sebelum ini menyatakan komitmen memastikan infrastruktur sukan dalam negara mudah diakses bukan sahaja kepada atlet kebangsaan tetapi juga orang ramai.

Dalam pada itu, Amarjit berkata, velodrom berbasikal baharu di Dungun, Terengganu perlu menjalani sedikit pengubahsuaian sebelum dibuka secara rasmi selepas mengambil kira pandangan pelumba kebangsaan dan jurulatih yang melakukan ujian percubaan di sana.

"Pandangan mereka (pelumba dan jurulatih) ketika ujian percubaan velodrom tersebut serta input oleh PKBM telah diambil kira Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan ia selamat digunakan.

"Saya difahamkan bahawa JKR akan beri laporan kepada kerajaan untuk meneliti dan buat pengubahsuaian, mungkin akan mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk menyiapkannya, jadi harap lepas pengubahsuaian dibuat PKBM akan kembali lihat velodrom tersebut," katanya. - Bernama