Ajax pecat Schreuder

Schreuder. - Foto Agensi
Schreuder. - Foto Agensi
A
A
A

KEPUTUSAN memeritkan dibuat oleh Ajax Amsterdam apabila terpaksa memecat jurulatih Alfred Schreuder selepas aksi hambar pasukan itu dalam saingan Liga Belanda.

Aksi di laman sendiri menjadi penampilan terakhir Schreuder ketika Ajak terikat 1-1 menentang kelab corot, Volendam awal pagi Jumaat.

Keputusan tersebut meletakkan juara bertahan itu di tangga kelima, tujuh mata di belakang pendahulu yang juga musuh tradisi, Feyenoord.

Ketua eksekutif Ajax, Edwin van der Sar dalam laman web kelab memberitahu, ia satu keputusan 'menyakitkan tetapi perlu'.

"Ajax bermula dengan baik pada awal musim, tetapi sejak kebelakangan ini pasukan kehilangan banyak mata penting.

"Bola sepak itu sendiri turut sukar diramal. Kami memberikan Alfred masa dan kepercayaan untuk mengubah kedudukan namun dia gagal melakukannya," katanya.

Ajax gagal meraih sebarang kemenangan dalam aksi liga sejak 22 Oktober dan tersingkir daripada Liga Juara-Juara di peringkat kumpulan.

Schreuder menyertai Ajax dari Club Brugge pada musim panas lalu bagi menggantikan Erik ten Hag yang berhijrah ke Old Trafford menyertai Manchester United.