Pihak berkuasa perlu pantau kenderaan ‘tin sardin’

Pihak berkuasa perlu memantau kenderaan yang membawa lebih penumpang bagi menggelakkan risiko kemalangan. - Gambar hiasan
Pihak berkuasa perlu memantau kenderaan yang membawa lebih penumpang bagi menggelakkan risiko kemalangan. - Gambar hiasan
A
A
A

SETIAP tahun ada sahaja kes kemalangan maut yang mengorbankan banyak nyawa serentak, malah lebih menyedihkan pernah berlaku satu keluarga hilang hanya dalam sekelip mata.

Ada kalanya ia berpunca daripada kenderaan terbabit sarat dengan muatan sehingga mengalami kegagalan fungsi atau hilang kawalan.

Tindakan pemandu membawa lebih muatan menyebabkan kenderaan menjadi padat sekali gus mengundang risiko kemalangan.

Baru-baru ini enam maut termasuk dua kanak-kanak apabila sebuah Perodua Myvi dinaiki lapan individu terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Kluang, Johor.

Bayangkan sebuah kereta bersaiz kompak seperti Myvi yang berkapasiti lima tempat duduk boleh memuatkan seramai lapan penumpang.

Apabila sebuah kenderaan melebihi muatan, sudah tentu mengundang bahaya. Kenderaan akan menjadi lebih berat, sekali gus memberi kesan kepada keseimbangan dan cengkaman tayar.

Sistem brek kenderaan juga mempunyai had berat maksimum yang boleh ditampung untuk memastikannya dapat dikawal dengan selamat.

Sudah sampai masa pihak berkuasa khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau perkara ini daripada terus berlaku.

Ada pandangan mengatakan kereta kecil itulah kemampuan sebenar mereka walaupun terpaksa duduk berhimpit kerana ahli keluarga ramai kerana tidak mampu membeli sebuah MPV.

Memang kemalangan tidak berbau tetapi kita boleh mengelakkan risiko kemalangan dengan mengikut peraturan jalan raya yang telah ditetapkan. Jangan ambil mudah dengan perkara ini kerana ia melibatkan nyawa kita, keluarga dan orang lain.

Sebelum ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 2019 pernah mencadangkan untuk mewajibkan penggunaan tempat duduk kanak-kanak dan juga tali pinggang keledar untuk penumpang belakang bagi menghalang pengguna kenderaan persendirian memuatkan lebih daripada tiga penumpang di tempat duduk belakang.

Penggunaan tali pinggang keledar untuk penumpang belakang sebenarnya sudah dikuatkuasakan sejak tahun 2009 tetapi tidak diimplementasikan secara serius.

Justeru sudah sampai masanya undang-undang ini dilaksanakan dengan lebih tegas untuk menyelesaikan masalah had muatan kenderaan persendirian.