Bakar al-Quran: Kerajaan panggil Kuasa Usaha Sementara Sweden

Wisma Putra
Wisma Putra
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Luar telah memanggil Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Sweden pagi tadi untuk menegaskan kembali kecaman keras kerajaan Malaysia terhadap tindakan keji pemimpin parti politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan membakar senaskhah al-Quran di Stockholm pada Sabtu lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, kementerian itu telah menyampaikan bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap keengganan berterusan oleh pihak berkuasa Sweden untuk mengambil tindakan ke atas Paludan.

Oleh demikian, tambah kenyataan itu, ia membolehkan Paludan meneruskan perbuatan terkutuk itu termasuk insiden yang sama pada April tahun 2022, walaupun mendapat tentangan daripada masyarakat antarabangsa.

“Kementerian ini telah menggesa pihak berkuasa Sweden supaya mengambil langkah serius untuk menentang sebarang unsur keganasan dan kebencian terhadap Islam di Sweden yang mana ia akan menjejaskan semangat hidup bersama secara aman dalam dunia yang berbilang agama sekiranya Islamofobia dan xenofobia terus berleluasa,” katanya pada Khamis.

Kementerian itu turut mengambil maklum mengenai sesi taklimat oleh Timbalan Menteri Luar Sweden, Jan Knutsson pada 23 Januari lalu di Kementerian Luar Sweden.

Taklimat itu dihadiri wakil kedutaan dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Stockholm termasuk Malaysia.

“Kementerian ini menggesa kerajaan Sweden mengambil inisiatif yang kukuh bagi menyelaras pendirian mereka dalam menghormati masyarakat Islam secara menyeluruh.

“Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Sweden di Kuala Lumpur mengambil maklum bantahan kerajaan Malaysia dan akan menyampaikannya kepada Stockholm,” jelasnya.