Dalang pemerdagangan bayi didakwa esok

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita dipercayai dalang utama kegiatan pemerdagangan bayi yang menjadikan pusat jagaan gadis terlanjur sebagai lubuk mendapatkan 'bekalan' bayi akan didakwa esok.

Perkara itu disahkan Ketua Penolong Pengarah Antipemerdagangan Orang/ Penyeludupan Migran (D7C), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus.

"Wanita itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan Orang (ATIP) Klang pada jam 8.30 pagi esok.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 ATIPSOM 2007," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Pada 27 Mac lalu, wanita berusia 58 tahun itu ditahan di pejabatnya di Jalan Rashaturai Kuala Kubu Bharu, Selangor, kira-kira jam 4 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman.

Polis turut merampas telefon bimbit milik suspek.

Kemudian, permohonan reman suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Selayang dan dibenarkan selama enam hari sebelum disambung tiga hari lagi.

Terdahulu, Sinar Siasat pada 25 Mac lalu membongkar kegiatan pemerdagangan bayi yang kembali aktif apabila menjadikan rumah-rumah jagaan gadis terlanjur sebagai lubuk mendapatkan 'bekalan' bayi untuk dijual.

Artikel Berkaitan:

Susulan pembongkaran tersebut, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertindak melakukan pemeriksaan terhadap rumah transit untuk wanita mengandung yang didakwa terlibat dalam sindiket jual beli bayi.

Modus operandinya mudah yang mana rumah jagaan terbabit akan mengambil kesempatan ke atas gadis-gadis yang mengandung luar nikah.

Selepas bersalin, gadis terlanjur perlu menyerahkan bayi mereka kepada pusat jagaan tersebut yang sudah mempunyai pembeli.

Jika tidak golongan gadis berkenaan perlu membayar lebih RM9,500 sebagai kos penjagaan semasa mengandung dan bersalin.