[VIDEO] Ahmad Zahid nafi putar kenyataan Hadi

Ahmad Zahid, Abdul Hadi
Ahmad Zahid, Abdul Hadi
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau memutar-belit kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung isu pemberian wang ketika pilihan raya.

Jelasnya, ia adalah merupakan kenyataan bertulis yang dikeluarkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

"Apa pun bentuk pemberian ketika kempen pilihan raya dan apa juga istilahnya itu adalah rasuah politik walaupun namanya sedekah.

"Ini bukan putar belit, ini kenyataan bertulis KP SPRM," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Ahmad Yahaya yang menyifatkan Ahmad Zahid mempunyai niat mengelirukan orang awam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid secara sinis menyatakan UMNO tidak mempunyai wang untuk sedekah.

"Silalah sedekah beramai-ramai dari sumber yang tidak jelas dan datangnya dari mana," katanya.

Pada perkembangan lain, Ahmad Zahid menegaskan parti-parti politik perlu bersama-bersama-sama terlibat dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.

"Sekiranya tiada, RUU Pendanaan Politik akan melibatkan Perlembagaan yang mana memerlukan suara majoriti di Parlimen," katanya.

Pada 24 September tahun lalu, kerajaan sekali lagi menzahirkan keyakinan dan komitmen bahawa RUU berkaitan sumbangan politik akan dapat direalisasikan.

Bagaimanapun, bacaan pertama RUU itu tidak sempat dibentangkan susulan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).