Import telur ayam sehingga bekalan stabil

Mohamad (kanan) pada sidang akhbar di Alor Setar pada Khamis.
Mohamad (kanan) pada sidang akhbar di Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan akan terus mengimport bekalan telur ayam dari luar negara sehingga keadaan stabil dan krisis bekalan telur ayam dalam negara dapat diselesaikan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, bagaimanapun pengimportan telur ayam hanya dilakukan mengikut keperluan dan bukannya secara berterusan.

Menurutnya, setakat ini bekalan telur ayam semakin stabil dan negara dijangka tidak berdepan masalah bekalan menjelang Ramadan.

“Sekarang bekalan telur ayam semakin stabil, kita hanya import dalam masa tertentu apabila keadaan sudah stabil, kita akan hentikan import. Import ini bukannya menerusi permit berpanjangan hanya untuk sementara sehingga stabil sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi libat urus bersama pimpinan-pimpinan Peladang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) B-4, Tun Adam Malik, Pangkalan Kundur pada Khamis.

Hadir sama, Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli.

Mohamad jelaskan, untuk menampung kekurangan atau terputus bekalan yang masih berlaku di beberapa tempat, pihaknya telah mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membekalkan telur ayam ke kawasan terjejas.

“Kementerian turut mendapat jaminan daripada pengeluar telur tempatan bahawa mereka sudah bersedia hasilkan telur ayam secukupnya untuk pasaran.

“Sebelum ini pengeluaran dalam negara terjejas disebabkan beberapa faktor antaranya, sesetengah tempat ternakan ayam berdepan kekurangan pekerja, yang mana daripada mampu hasilkan setengah juta telur, hanya dapat keluarkan 300,000 telur,” jelasnya.

Menurutnya lagi, diharap setelah kerajaan mempermudahkan urusan pengambilan pekerja tempatan atau asing, krisis akan semakin pulih.

“Sekarang bekalan sudah stabil cuma harga perlu ikut pasaran dari semasa ke semasa,” tegasnya.

Mengulas mengenai cadangan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin sarankan agar kerajaan memansuhkan Permit Kelulusan (AP) telur ayam untuk mengurangkan harga sumber protein itu sehingga 10 peratus, selain menjamin bekalan, Mohamad berkata, ia antara pandangan disuarakan pelbagai pihak.

“Itu pandangan beliau. Kami di peringkat Kementerian akan bincang bersama beberapa kementerian lain antaranya Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,” katanya.