Masa orang ramai kongsi idea pembangunan KSSA

No Image Caption
A
A
A

PAMERAN dan sesi libat urus awam berkaitan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), di SACC Mall, Shah Alam bermula Khamis sehingga 10 Februari hadapan dari jam 10 pagi hingga ke 10 malam.

Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor memaklumkan sesi selama 16 hari itu, bertujuan berkongsi maklumat berhubung cadangan projek pembangunan KSSA yang baharu dan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai pelan cadangan yang dikemukakan.

“Di sepanjang sesi ini, orang ramai berpeluang untuk melihat dan mendapatkan gambaran yang lebih lanjut mengenai projek pembangunan tersebut melalui paparan video 3D flythrough, papan informasi dan model konsep projek pembangunan berkenaan.

“Pengunjung boleh menilai dan berpeluang untuk memberikan maklum balas dan cadangan melalui kod imbasan QR yang disediakan pihak MBI Selangor,” menurut kenyataan tersebut pada Khamis.

Kenyataan itu memaklumkan pelan cadangan Projek Pembangunan KSSA yang berkeluasan 188 ekar itu nanti bakal mempunyai sebuah stadium bertaraf dunia, yang merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan kawasan projek pembangunan.

“Baki 40 peratus daripada keseluruhan kawasan projek pembangunan merupakan taman rekreasi dan ruang komersial, yang diaspirasikan untuk menggalakkan interaksi dalam komuniti serta memberi pelbagai peluang keusahawanan kepada golongan belia di Selangor.

“Sesi libat urus awam ini merupakan inisiatif Kerajaan Selangor yang bertujuan memastikan ketelusan dalam setiap urusan dan mencerminkan komitmen yang berterusan kerajaan negeri ke arah pentadbiran yang cekap, serta berpaksikan kepentingan masyarakat umum,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sesi itu merupakan inisiatif tambahan secara sukarela oleh kerajaan Selangor dan MBI Selangor, dalam usaha memberikan maklumat terkini mengenai pelan perancangan KSSA.

Mengulas lanjut, maklum balas dan cadangan awam yang relevan akan dimasukkan ke dalam pelan pembangunan KSSA, selaras dengan aspirasi kerajaan dan MBI Selangor yang peka kepada keperluan orang ramai.

Pada 15 Julai lalu, kerajaan Selangor melantik Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), untuk melaksanakan pembangunan baharu Stadium Shah Alam dan fasilti sukan sekitarnya, dengan kos ditetapkan sekitar RM787 juta. - Bernama