Hanya berpaut pada tong, nelayan terselamat lebih 30 jam hanyut

Mangsa ditemui dalam keadaan selamat selepas terapung lebih 30 jam di perairan Sepanggar.
Mangsa ditemui dalam keadaan selamat selepas terapung lebih 30 jam di perairan Sepanggar.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang nelayan yang dilaporkan hilang ditemui selamat selepas terpaksa berpaut pada tong bekas minyak lebih 30 jam di perairan Sepanggar.

Morris Dulin, 69, hilang kira-kira jam 6 pagi Rabu selepas bot yang dinaikinya karam dan beliau hanya ditemui pada jam 1.45 petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan penemuan mangsa oleh Kapal KD Sunda, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Mangsa ditemui selamat dalam keadaan masih berpaut pada tong bekas minyak di tengah laut di perairan Sepanggar oleh TLDM.

“Mangsa kemudiannya dibawa balik ke pangkalan TLDM untuk tindakan pengesahan dan rawatan,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum itu, dua rakannya berusia 41 dan 42 tahun ditemui selamat manakala mangsa hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Karambunai.

Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kampung Mengkabung, Tuaran, dilaporkan keluar ke laut untuk memukat ikan dengan menggunakan sebuah bot.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke jeti, cuaca bertukar buruk sehingga menyebabkan bot yang mereka naiki karam.

Dua rakan mangsa yang dikatakan memakai jaket keselamatan berjaya berenang ke pantai untuk mendapatkan bantuan dan melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa.

Operas mencari dan menyelamat dijalankan Polis Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan bot nelayan awam.