Harimau Malaya berpeluang lawan Jordan

Hamidin (kiri) dan Putera Ali membincangkan pelbagai aspek kerjasama Malaysia-Jordan.
Hamidin (kiri) dan Putera Ali membincangkan pelbagai aspek kerjasama Malaysia-Jordan.
A
A
A

HARIMAU Malaya berpeluang untuk menguji Jordan dalam aksi persahabatan sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Asia tahun depan.

Ia susulan hasil pertemuan antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) yang berlangsung pada Rabu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kunjungan hormat ke atas Presiden JFA, Putera Ali Al Hussein di Amman itu turut membincangkan pelbagai aspek kerjasama dua hala Malaysia-Jordan.

Menurutnya, FAM turut memaklumkan kepada Putera Ali yang juga Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia Barat (WAFF) mengenai pembangunan bola sepak Malaysia terutama bola sepak wanita dan akar umbi yang perlu diberi lebih penekanan dengan beberapa pendekatan strategik.

"Terima kasih kepada Putera Ali yang meluangkan masa beliau untuk membincangkan kemungkinan kerjasama bola sepak dua hala antara Malaysia dan Jordan.

"Kita juga merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan pasukan kebangsaan dengan Jordan merangkumi semua peringkat umur, termasuk skuad kebangsaan wanita, futsal dan bola sepak pantai di bawah kalendar FIFA nanti.

"Saya optimis perbincangan ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam jangka masa panjang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kedua-dua pihak juga berkongsi pandangan dan potensi kerjasama dua hala dalam bola sepak bukan saja antara Jordan malah antara negara Asia Barat di bawah WAFF.

Pada dasarnya kedua-dua pemimpin menyambut baik cadangan supaya hubungan kedua-dua negara, Malaysia-Jordan dan juga Asia Barat dinaik taraf ke peringkat yang lebih komprehensif.