PVATM minta kerajaan pertimbang tiga tuntutan

Sharuddin (tiga dari kiri) ketika mengadakan kunjungan hormat dan bertemu Mohamad (tiga dari kanan) di Kementerian Pertahanan di Putrajaya pada Rabu.
Sharuddin (tiga dari kiri) ketika mengadakan kunjungan hormat dan bertemu Mohamad (tiga dari kanan) di Kementerian Pertahanan di Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) meminta kerajaan mempertimbangkan dan memperhalusi tiga tuntutan PVATM dalam menjaga kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presidennya, Datuk Sharuddin Omar berkata, tiga tuntutan tersebut adalah pelarasan pencen seramai 78,546 veteran bersara sebelum 1 Januari 2013, bantuan sara hidup kepada 73,009 veteran tidak berpencen serta elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Menurut Sharuddin, tiga tuntutan berkenaan telah diajukan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan sewaktu PVATM mengadakan kunjungan hormat ke Wisma Pertahanan di Putrajaya pada Rabu.

"Dalam kunjungan itu juga PVATM turut mengemukakan beberapa cadangan mengatasi ketiga-tiga isu tersebut. Cadangan-cadangan ini akan dibentangkan dalam sidang Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) Ke-10 akan datang.

"Antaranya memohon peruntukan kuota haji khas (muasasah) untuk veteran warga emas serta mengesyorkan penyediaan peluang kerjaya kedua dengan kerjasama semua kementerian khusus kepada veteran yang tidak berpencen dan berpencen di awal umur 40-an," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, Sharuddin berkata, PVATM turut memberi taklimat mengenai sambutan Ulang Tahun PVATM ke-100 tahun, kewujudan Bahagian PVATM di 14 buah negeri dan 246 cawangan di seluruh negara dengan jumlah terkini iaitu seramai 174,865 ahli dalam pertemuan dengan Menteri Pertahanan.

"Selain itu, PVATM juga berkongsi mengenai peranan PVATM sebelum dan selepas JHEV ditubuhkan pada tahun 2001 serta penglibatan PVATM sebagai ahli dalam forum Veterans Confederation of ASEAN Countries (VECONAC) dan World Veterans Federation (WVF)," katanya.