Prosiding Siti Bainun hari ini jadi tumpuan

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali - Foto Bernama
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali - Foto Bernama
A
A
A

PELBAGAI kisah menarik berlaku sepanjang bulan ini, daripada kisah rumah tangga selebriti, sukan, hiburan dan hinggalah ke kes jenayah membabitkan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Menyentuh kes mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan dikenali Bella yang ketika kejadian berusia 13 tahun, pelbagai kejadian menarik berlaku menjelang perbicaraan bela diri hari pertama, hari ini.

Mengimbas kembali, Siti Bainun didakwa di mahkamah pada 20 Ogos 2021, iaitu sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Selang tiga bulan kemudian, dia didakwa lagi di mahkamah sama, pada 20 November, atas satu pertuduhan menganiaya remaja itu.

Perlu diingatkan, wanita berkenaan bukan didakwa atas kes dera sebagai mana yang digembar-gemburkan sesetengah pihak sebaliknya pengabaian dan penganiayaan.

Perbicaraan kes itu telah bermula 30 Mac 2022, dengan pihak pendakwaan telah memanggil 22 saksi.

Paling menarik apabila Bella sendiri hadir untuk memberi keterangan terhadap bekas ibu angkatnya itu.

Selepas lapan bulan turun naik mahkamah untuk perbicaraan kes, Siti Bainun diperintah untuk membela diri pada 24 November tahun sama dan prosiding ditetapkan dua minggu dari tarikh itu.

Namun, pada 30 November tahun sama, Siti Bainun memfailkan notis usul dengan menamakan pendakwa raya selaku responden, untuk menyemak dua pertuduhan tersebut.

Pendakwaan tidak berdiam diri dan kemudiannya memfailkan bantahan awal terhadap permohonan itu, serta pendengaran prosiding berkenaan ditetapkan pada 4 Disember 2022.

Ini memaksa prosiding bela diri yang ditetapkan bermula 5 hingga 9 Disember, ditangguhkan.

Paling mengejutkan apabila, peguam Siti Bainun, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor memaklumkan, anak guamnya dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti bakteria.

Buat kali pertama, Siti Bainun dikecualikan kehadiran ke mahkamah kerana diberi sijil cuti sakit selama 22 hari bermula 28 November 2022, berikutan masalah kesihatannya itu.

Namun, pada 16 Januari lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Siti Bainun untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen supaya membela diri atas pertuduhan berkenaan.

Susulan itu, prosiding yang ditetapkan bermula 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari, diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari dan 6 hingga 10 serta 27 hingga 30 Mac dikekalkan.

Kejutan buat semua pihak, apabila semua peguam Siti Bainun dilaporkan menarik diri daripada mewakilinya.

Peguam, Mohammad Farhan dan Nur Ellena memfailkan permohonan itu secara bertulis pada 13 Januari lalu manakala Nur A’minahtul membuat permohonan menarik diri ketika prosiding terbuka, tiga hari kemudian.

Mahkamah turut menerima notis penarikan diri daripada peguam, Asiah Jalil dan Nurul Hafidzah Hassan pada jam 9 malam, hari sama.Tindakan mereka menyebabkan Siti Bainun menangis di kandang tertuduh pada prosiding bela diri, 17 Januari lalu.

Sehubungan itu, netizen tidak lekang untuk melontarkan pendapat masing-masing, baik yang positif mahu pun negatif.

Ada juga yang memerli wanita itu dengan dialog filem klasik, Ibu Mertuaku di tanah perkuburan, yang diterbitkan pada tahun 1962, antara Kassim Selamat, iaitu lakonan hebat oleh seniman agung Allahyarham P Ramlee dengan ibu mertuanya, Nyonya Mansor lakonan pelakon bangsawan terkenal, Mak Dara.

Perlu diingat, Hakim Izralizam Sanusi telah memberi peringatan kepada Siti Bainun agar melantik peguam baharu dengan segera kerana prosiding hari ini tetap dijalankan biarpun tanpa kehadiran peguam.

Ini kerana mahkamah memaklumkan bahawa, wanita itu telah diberi peluang dan masa yang mencukupi untuk melantik pasukan pembelaan.

Hakim itu turut menasihatinya agar mencari peguam yang berkaliber, satu sudah memadai kerana sekiranya terlalu banyak firma namun berlaku insiden ‘penarikan diri’ ia tidak akan akan memberi manfaat kepada dirinya.

Pastinya, prosiding yang dijadualkan hari ini dinantikan semua pihak, lebih-lebih yang mahu mengetahui perjalanan pembelaan Siti Bainun dan pendirian peguamnya kelak.

* Noor Azlida Alimin ialah wartawan Meja Mahkamah Sinar Harian