Lelaki warga emas ketuk cermin kereta guna batu ditahan

Video tular yang memaparkan seorang lelaki warga emas mengetuk cermin kereta dengan batu.
Video tular yang memaparkan seorang lelaki warga emas mengetuk cermin kereta dengan batu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes pembuli jalanan di persimpangan lampu isyarat Jalan Metro 1, Metro Prima, Kepong pada 28 Disember lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Heisham Harun berkata, lelaki berusia 63 tahun itu ditahan ketika datang membuat laporan mengenai insiden sama di Balai Polis Sentul jam 3 petang, Selasa.

"Semakan rekod lelaki yang bekerja sebagai pemandu van itu mendapati dia mempunyai empat rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Heisham berkata, pihaknya turut menerima satu laporan daripada seorang lelaki bekerja sebagai ejen hartanah mengenai kejadian itu jam 2.20 petang, hari sama.

"Lelaki itu tidak berpuas hati dengan tindakan suspek yang mengetuk cermin kereta dan membaling batu ke arah keretanya di lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, pengadu sedang memandu kereta Perodua Bezza dan terdapat sebuah lori yang menghalang laluan.

"Sebuah kereta lain yang berada di belakang keretanya kemudian membunyikan hon dan memaksa pengadu meneruskan pemanduan.

"Suspek memaki hamun pengadu menggunakan kata-kata kesat kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pengadu mengangkat tangan," katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di lampu isyarat Jalan Metro Prima 1, suspek datang semula ke arah kereta pengadu sambil membawa batu dan mengetuk cermin hadapan serta kanan kenderaan itu, selain membaling batu ke arah bumbung kereta mangsa.

"Suspek akan direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan.

"Insiden berkenaan turut tular menerusi satu video berdurasi 28 saat yang dimuat naik di media sosial," katanya.