'Usah terbuai kemenangan lalu'

Arul Selvaraj
Arul Selvaraj
A
A
A

SKUAD hoki kebangsaan yang akan bertemu Afrika Selatan bagi penentuan tempat kesembilan hingga ke-16 kempen Piala Dunia 2023 esok, digesa tidak terlalu terbuai dengan kejayaan mengalahkan lawan sama di Ipoh, Perak tahun lalu.

Ketua jurulatih Malaysian Tigers, Arul Selvaraj berkata, apabila berentap di pentas Piala Dunia, cabaran yang akan dihadapi pastinya berbeza demi memburu kemenangan.

“Apabila kita datang ke Piala Dunia ia akan selalu menjadi perlawanan yang berbeza, mentaliti pemain juga berbeza.

“Jadi kita tidak boleh menggunakan landasan kemenangan 7-2 di Ipoh untuk bermain esok, kita masih perlu bekerja keras,” katanya menerusi rakaman video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media pada Rabu.

Arul berkata, skuad Malaysian Tigers pada masa sama perlu memupuk asas pemikiran yang baik selain meletakkan kemahuan dan kepercayaan tinggi dalam mencipta kemenangan sekali lagi ke atas Afrika Selatan.

Pada kempen Piala Sultan Azlan Shah 2022 November tahun lalu, Malaysia menewaskan Afrika Selatan 7-2 pada aksi kumpulan.

Menjelang pertembungan di Stadium Birsa Munda, Rourkela di India esok, Malaysia memiliki kelebihan di atas kertas berdasarkan kedudukan ranking dunia di tempat ke-10 manakala Afrika Selatan di ranking ke-15.

Penyertaan di India merupakan penampilan kesembilan skuad hoki negara di Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 1971, dengan pencapaian terbaik meraih tempat keempat pada edisi 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Edisi lepas menyaksikan Malaysia hanya mampu menamatkan cabaran di tempat ke-15.