Henti aktiviti perkhemahan, riadah di pantai Kota Tinggi

HUSSIN
HUSSIN
A
A
A

KOTA TINGGI - Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti rekreasi termasuk perkhemahan di kawasan pantai ketika cuaca buruk pada masa kini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, aktiviti sedemikian tidak sesuai memandangkan hujan lebat selain fenomena air pasang besar di sepanjang kawasan pantai di daerah ini.

"Susulan insiden 35 individu terperangkap berlaku di Campsite Tanjung Lompat pada Selasa, orang ramai diminta lebih bertanggungjawab dan berhati-hati terhadap keadaan persekitaran sebelum meneruskan sebarang aktiviti riadah.

"Kalau boleh hentikan buat sementara waktu semua aktiviti riadah dan rekreasi terutama perkhemahan di kawasan berisiko," katanya ketika ditemui di Kampung Perpat Sedili pada Rabu.

Hussin berkata, jika cuaca bertambah buruk, pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan arahan supaya aktiviti riadah berkenaan dihentikan sehingga cuaca kembali normal.

Sebelum itu, Hussin membuat tinjauan di beberapa lokasi jalan termasuk Kampung Teluk dan Kampung Simpang, Sedili yang dinaiki air banjir sedalam 0.4 meter, menyebabkan ia tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Pada Selasa, seramai 35 individu yang berkhemah Campsite Tanjung Lompat dilaporkan terperangkap di tapak perkhemahan berkenaan akibat terputus laluan keluar masuk berikutan berlaku fenomena air pasang besar dan hujan lebat.

Mangsa membabitkan 12 lelaki dewasa, 11 perempuan dewasa, tujuh kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan yang kemudian diselamatkan anggota bomba menggunakan laluan alternatif lewat petang Selasa.