Seorang lagi penyerang import perkuatkan KDA FC

Willian (dua kiri) mengalas tugas sebagai penyerang utama KDA FC dan meledak empat gol pada tiga aksi pra-musim 2023. FOTO KDA FC
Willian (dua kiri) mengalas tugas sebagai penyerang utama KDA FC dan meledak empat gol pada tiga aksi pra-musim 2023. FOTO KDA FC
A
A
A

SEORANG lagi penyerang import bakal tiba di Alor Setar untuk memperkuatkan Kedah Darul Aman (KDA) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, mereka memerlukan pilihan penyerang lain yang mampu mengalas tugas jika penyerang sedia ada seperti Willian Lira mengalami masalah atau kecederaan.

"Insya-Allah, akan ada seorang lagi penyerang import yang akan bersama pasukan bagi memperkuatkan posisi serangan dalam masa terdekat ini.

"Di posisi berkenaan, kita akan ada dua pilihan kerana kita memerlukan skuad dengan pemain yang benar-benar bersedia dan memiliki pilihan daripada segi pemain import dan juga pemain tempatan dalam memberi saingan terbaik pada musim ini," katanya

Mengulas mengenai perkembangan semasa Sang Kenari, Nafuzi mengakui gembira dengan keserasian pemain selepas menang 6-0 ke atas skuad Projek FAM-MSN (SPFM) 6-0 di Stadium Sultan Abdul Halim Alor Setar pada malam Selasa.

Menurutnya, kemenangan tiga aksi pra-musim 2023 meningkatkan keyakinan terutamanya pemain muda dan mereka juga mula dilihat semakin memahami setiap taktikal yang diterapkan semasa sesi latihan.

"Tidak kira dengan pasukan mana yang kita akan hadapi, saya melihat dan menilai setiap perlawanan yang dilalui ini daripada semua aspek kerana penting untuk perkembangan pasukan menghadapi saingan sebenar musim ini.

"Memang kita tidak bolos dalam tiga perlawanan pra-musim yang kita lalui setakat ini, namun masih ada kelemahan seperti daripada segi pertahanan dan beberapa aspek lain yang kita perlu perbaiki dan tekankan. Ini akan kita akan lakukan peringkat demi peringkat untuk persediaan pasukan," ujar beliau.

Tambah Nafuzi, kekuatan sebenar KDA FC selepas ini akan diuji apabila bakal berdepan pasukan yang lebih kuat bagi aksi pra-musim seterusnya.