Kritik Presiden: 'Sampai bila suara anak muda perlu disekat'

Syed Mohd
Syed Mohd
A
A
A

SHAH ALAM - "Sampai bila suara anak muda perlu disekat kerana mengkritik Presiden UMNO," soal Ahli Jawatankuasa Pendidikan dan Mahasiswa Pemuda UMNO, Syed Mohd Syed Nasir.

Syed Mohd mendakwa, dia diberitahu oleh rakan-rakan Pemuda (UMNO) dari beberapa bahagian negeri Johor mengenai kritikannya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan tindakan beliau untuk mengekalkan survival parti berkenaan.

"Saya diberitahu supaya berhati-hati kerana ada pihak sedang memproses serta giat melaporkan kesemua kritikan saya kepada pihak Lembaga Disiplin UMNO Malaysia.

"Saya hanya orang muda biasa dan ahli Pemuda yang tiada jawatan di peringkat cawangan mahupun bahagian.

"Apatah lagi, Presiden UMNO sudah meletakkan komitmen bahawa beliau menerima dengan hati terbuka terhadap apa jua kritikan radikal dalam kalangan ahli terutama orang muda," dakwanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Justeru, beliau berkata, rakyat Malaysia akan menilai tindakan-tindakan pemimpin Pemuda kerana terlalu menjaga diri mereka demi bertanding pada pemilihan akan datang.

"Mereka takut digantung oleh Presiden UMNO kerana bersuara menyampaikan pandangan bertentangan.

"Saya akan mendedahkan bahagian mana yang membuat gerakan untuk menutup kebebasan bersuara ahli akar umbi," dakwanya.

Dakwanya lagi, pihak tersebut merupakan orang yang sama menganiaya mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali, sehingga beliau meletakkan jawatan dan kini menyertai Pas.

"Persoalannya, sampai bila suara kita sebagai anak muda perlu disekat begini, dihina pandangan dan diugut supaya dipecat dan digantung.sedangkan kritikan-kritikan itu demi kebaikan parti dan mengembalikan perjuangan UMNO yang asal.

"Jika benar Lembaga Disiplin UMNO mahu menyekat kebebasan saya sebagai ahli parti melalui laporan yang dibuat maka benarlah 'demokrasi dalam UMNO' sudah mati," jelasnya.