Tangani isu yang ancam keharmonian kaum - Sultan Johor

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, bahawa isu-isu yang boleh mengancam keharmonian dan perpaduan Bangsa Johor mesti ditangani dengan cekap oleh pihak berkuasa.

Merujuk kepada satu pertuduhan yang tular berkenaan satu bengkel peperiksaan yang dianjurkan khusus bagi pelajar Muslim oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent Johor Bahru, baginda bertitah, tindakan pantas dan tepat oleh pihak berkuasa akan mencegah kekeliruan dan penularan sentimen berbaur kebencian.

"Saya tidak mahu Bangsa Johor keliru dan mula berburuk sangka antara satu sama lain. Saya cukup menitikberatkan betapa pentingnya untuk persefahaman, perpaduan dan toleransi antara kaum kita yang pelbagai.

"Jabatan Pendidikan mesti bertindak pantas untuk menangani situasi sebegini agar tidak menular emosi negatif serta perkara tidak sahih dalam kalangan rakyat. Ini juga merupakan pengajaran kepada semua pihak yang perlu menangani rasa tidak puas hati mereka.

"Tiada orang yang patut disisihkan daripada suatu program awam kerana agama atau bangsanya. Jika benar ada yang telah diasingkan kerana itu, maka tindakan perlu diambil kepada penganjur.

"Begitu juga jika didapati tuduhan adalah tidak benar dan dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada Selasa.

Terdahulu ibu bapa pelajar bukan Islam di sekolah tersebut berasa kesal dan tidak puas hati apabila bengkel Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diadakan hanya untuk pelajar-pelajar Islam.

Sementara pelajar bukan Islam tidak dimaklumkan tentang bengkel tersebut dan didakwa dinafikan penyertaan mereka.