Polis trafik bantu wanita nyaris bersalin dalam kereta

Dua anggota polis trafik berjaya menyelamatkan seorang wanita sarat mengandung daripada bersalin di dalam kereta di Jelawat, Bachok pada Isnin. - Foto: PDRM
Dua anggota polis trafik berjaya menyelamatkan seorang wanita sarat mengandung daripada bersalin di dalam kereta di Jelawat, Bachok pada Isnin. - Foto: PDRM
A
A
A

BACHOK - Dua anggota polis trafik berjaya menyelamatkan seorang wanita sarat mengandung daripada bersalin di dalam kereta di Jelawat di sini pada Isnin.

Mereka mengiringi kereta yang dinaiki wanita terbabit ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu selepas terperangkap dalam kesesakan jalan raya di kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, kereta jenis Proton Wira dipandu suami wanita itu dilihat memandu secara melulu dan memotong di garisan berkembar pada jam 7 malam.

"Dua anggota trafik tersebut baru sahaja selesai menjalankan Op Selamat di Jelawat.

"Mereka telah melihat insiden itu dan terus menahan kereta terbabit," katanya kepada pemberita ketika dihubungi.

Menurut beliau, semasa menjalankan soal siasat pemandu kereta yang berusia dalam lingkungan 30-an itu memaklumkan isterinya sedang sakit untuk bersalin.

Ujarnya, anggota trafik telah mengiringi kereta itu ke Klinik Kesihatan Gunong di sini untuk mendapatkan bantuan ambulans.

Shuhaimi berkata, setiba di klinik itu, ambulans didapati telah keluar untuk membawa pesakit lain ke hospital.

“Keadaan ketika itu menyebabkan dua anggota polis itu terus bertindak mengiringi kereta terbabit sejauh 20 kilometer ke HRPZ II.

"Ini kerana mereka bimbang wanita tersebut akan bersalin di dalam kereta jika dibiarkan pergi tanda iringan,” katanya.

Menurut Shuhaimi, pasangan suami isteri itu selamat tiba di HPRZ II pada jam 8 malam sebelum wanita terbabit dibawa ke wad bersalin.

Beliau menghargai tindakan pantas anggota polis yang prihatin dan cakna membantu orang awam pada Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina.

Tambahnya, meskipun sibuk dengan tugasan mengawal kesesakan trafik, anggota polis juga sentiasa diingatkan agar melakukan khidmat sosial apabila masyarakat menghadapi masalah di jalan raya.