3 keluarga di Kampung Paya Merah Lama dipindah ke PPS

Anggota bomba membawa keluar mangsa banjir dari Kampung Paya Merah Lama.
Anggota bomba membawa keluar mangsa banjir dari Kampung Paya Merah Lama.
A
A
A

LABIS – Seramai 15 penduduk melibatkan tiga keluarga di Kampung Paya Merah Lama di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di dewan kampung berkenaan dengan bantuan pihak bomba, susulan banjir kilat pada Selasa.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1, Sharfini Nasar, mangsa melibatkan tiga lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa, tiga dewasa dan lapan kanak-kanak.

“Sekitar 9.22 pagi Selasa, satu jentera FRT (Fire Rescue Tender) dan satu EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) dengan lapan anggota bomba telah digerakkan ke Kampung Paya Merah Lama bagi membuat pemantauan situasi banjir kilat di kawasan berkenaan.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudiannya berjaya memindahkan kesemua mangsa dari Kampung Paya Merah Lama ke PSS di sini.

“Operasi ditamatkan pada 11 pagi setelah kesemua mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat,” katanya pada Selasa.

Warga emas dan kanak-kanak merupakan sebahagian mangsa yang diselamatkan pihak bomba di Kampung Paya Merah Lama.
Warga emas dan kanak-kanak merupakan sebahagian mangsa yang diselamatkan pihak bomba di Kampung Paya Merah Lama.

Setakat ini sebanyak tiga PPS dibuka secara rasmi susulan banjir kilat di sekitar Labis.

PPS terlibat adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang, Dewan Kolam Air panas dan Kampung Paya Merah.

Sementara itu, lapan bayi dan 16 orang kurang upaya (OKU) antara 413 mangsa banjir daripada 119 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Kampung Tenang di sini pada Selasa selepas kampung mereka ditenggelami air.