Dua beradik lemas ketika mandi di anak sungai

Lokasi dua beradik lemas ketika mandi di anak sungai di tepi Jalan Beringis-Kawang, Kinarut, Papar.
Lokasi dua beradik lemas ketika mandi di anak sungai di tepi Jalan Beringis-Kawang, Kinarut, Papar.
A
A
A

PAPAR - Dua beradik lelaki lemas ketika mandi di sebuah anak sungai Jalan Beringis-Kawang, Kinarut, pada Isnin.

Dua kanak-kanak berusia 12 dan 13 tahun yang juga murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kawang, itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 3.05 petang.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa mengikut ibu dan nenek mereka mencari lokan di lokasi kejadian. Sementara ibu dan nenek kedua mangsa mencari lokan, mereka dikatakan mandi di sebuah anak sungai yang ada di kawasan berkenaan.

"Kedua-duanya kemudian disedari lemas oleh ibu dan nenek sebelum meminta bantuan orang awam yang lalu di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar dari anak sungai berkenaan namun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mereka segera dikejar ke hospital oleh orang awam namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

"Hasil pemeriksaan, tiada unsur jenayah atas kematian dua kanak-kanak itu dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.