Buruh mengaku tak salah culik dua pelarian Rohingya

Hafiy Zulhilmy (tengah) dibawa polis menuju ke lokap Mahkamah Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN
Hafiy Zulhilmy (tengah) dibawa polis menuju ke lokap Mahkamah Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dakwaan menculik dua pelarian Rohingya warga Myanmar di Kok Lanas di sini pada Jumaat lalu.

Tertuduh, Hafiy Zulhilmy Hassan,32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas didakwa menculik dua buruh lelaki juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) iaitu Abdul Hamin Abu Tahir berusia 20-an dan Soleh Ahmad Habes Ahmad berusia 30-an tersebut bertujuan mengurung mereka dengan salah di Taman Arif, Kok Lanas pada 20 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 kanun keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan memohon tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 26 Februari ini.