Trafik lebuh raya utama dijangka sesak mulai tengah hari

Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dijangka akan meningkat dan sesak mulai tengah hari ini ekoran orang ramai yang akan membuat perjalanan pulang selepas cuti sambutan perayaan Tahun Baharu Cina berakhir pada Selasa. - Gambar hiasan
Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dijangka akan meningkat dan sesak mulai tengah hari ini ekoran orang ramai yang akan membuat perjalanan pulang selepas cuti sambutan perayaan Tahun Baharu Cina berakhir pada Selasa. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dijangka akan meningkat dan sesak mulai tengah hari ini ekoran orang ramai yang akan membuat perjalanan pulang selepas cuti sambutan perayaan Tahun Baharu Cina berakhir pada Selasa.

Menurut jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) kesesakan dijangka dari Gopeng ke Tapah, Sungkai ke Slim River serta Pedas Linggi ke Port Dickson.

Trafik juga dijangka sesak dari Bukit Tinggi ke Plaza Tol Gombak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dan pastikan baki kad Touch 'n Go mencukupi bagi mengelakkan kesesakan ketika membuat pembayaran di plaza tol," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

LLM turut memaklumkan berlaku kesesakan sepanjang empat kilometer di KM263.4 PLUS arah selatan dari Kuala Kangsar ke Ipoh Utara susulan sebuah kereta rosak yang menyebabkan lorong kanan terhalang.

Sementara itu, aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah barat sesak dan bergerak perlahan ekoran pertambahan kenderaan pada Selasa.

Anih Berhad dalam kenyataannya memaklumkan, kesesakan berlaku sepanjang tiga kilometer (km) dari Kilometer (KM) 53.9 hingga KM 50.9 dekat Lentang dan 1.8 km di KM 47 hingga KM45.2 di Bukit Tinggi.

Info trafik yang dikemas kini jam 11.15 pagi itu turut melaporkan kesesakan sepanjang 4.2 kilometer arah timur dari Plaza Tol Gombak hingga KM24 disebabkan kemalangan.

Sementara itu, aliran trafik kedua arah di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berjalan lancar.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini dilaporkan berkata sebanyak 3.8 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di seluruh negara sepanjang cuti Tahun Baharu Cina kali ini.