[VIDEO] 'Belum ada perbincangan rasmi dengan BN' - Anwar

Anwar bermesra dengan hadir pada Majlis Kenduri Rakyat di Galeri Pejuang Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam malam ini. - Foto Bernama
Anwar bermesra dengan hadir pada Majlis Kenduri Rakyat di Galeri Pejuang Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghalang sekiranya pimpinan parti di peringkat negeri mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Bagaimanapun Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi dibuat antara kedua-dua parti gabungan itu.

"Secara rasmi (perbincangan) belum... namun saya tidak menghalang pimpinan peringkat negeri untuk mengadakan perbincangan," jawabnya ringkas ketika ditemui selepas menghadiri majlis kenduri rakyat di Galeri Pejuang, Cherok Tok Kun di sini pada Isnin.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Mengulas mengenai pendirian Pas yang mahu menetapkan sendiri tarikh yang sesuai untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di tiga negeri ditadbir parti itu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, Anwar berkata, itu hak mereka dan perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya PRN dilakukan secara berasingan dengan tiga negeri lain yang ditadbir PH iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ia akan menyebabkan kos meningkat.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan di peringkat kepemimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) sebelum membuat keputusan mengenai masa yang sesuai diadakan PRN.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, Pas bersama parti gabungan PN akan meneliti daripada semua aspek sebelum menetapkan tarikh membubarkan DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu.