BesutMaju agih sumbangan bantu mangsa banjir

Hazmin (tengah) bersama Mohd Nawawi (enam dari kanan) dan Muhammad Nasir (kiri) ketika hadir pada program agihan sumbangan mangsa banjir yang di sampaikan di Masjid Kampung Pondok Paku, Kerandang, di Besut pada Ahad.
Hazmin (tengah) bersama Mohd Nawawi (enam dari kanan) dan Muhammad Nasir (kiri) ketika hadir pada program agihan sumbangan mangsa banjir yang di sampaikan di Masjid Kampung Pondok Paku, Kerandang, di Besut pada Ahad.
A
A
A

BESUT - Pertubuhan BesutMaju menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada seramai 110 mangsa banjir yang terjejas ketika bencana buruk melanda daerah itu pada 18 Disember tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan BesutMaju, Hazmin Mat Yusof berkata, sumbangan khusus kepada golongan memerlukan itu disampaikan di Masjid Kampung Pondok Paku, Kerandang, di sini pada Ahad.

Katanya, antara sumbangan diserahkan ialah wang tunai RM300 bagi setiap seorang serta peralatan sembahyang seperti sejadah, telekung, kain batik dan kain pelikat yang melibatkan peruntukan sebanyak RM34,000.

"Bantuan yang disampaikan ini adalah hasil sumbangan yang dikumpulkan daripada ahli-ahli persatuan manakala maklumat mengenai kumpulan penerima diperoleh daripada pemimpin setempat.

"Mangsa banjir di Besut turut menerima bantuan hasil sumbangan pihak lain, sebab itulah kita cuba cari bentuk sumbangan lain yang kurang diberi perhatian namun diperlukan oleh mangsa banjir khususnya golongan berpendapatan rendah," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan BesutMaju, Datuk Mohd Nawawi Ismail dan Naib Pengerusi BesutMaju yang juga Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Selain aktif menyampaikan sumbangan bantuan bagi membantu golongan memerlukan, Pertubuhan BesutMaju juga aktif dalam program-program kemasyarakatan yang lain antaranya Cakna Ramadan, Cakna Covid-19, motivasi dan bantuan yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 pelajar di daerah Besut.

Dalam pada itu, Hazmin berkata, program seumpama itu diharap dapat memberi impak positif dan manfaat kepada penerima.

Beliau berkata, pihaknya turut bercadang mengadakan program sumbangan pada bulan Ramadan yang menyasarkan penerima dalam kalangan golongan miskin dan asnaf.

"Ramadan tahun ini kita juga bercadang meneruskan lagi program yang menjadi kelaziman persatuan iaitu sumbangan Ramadan.

"Kita harap ia dapat direalisasikan dan program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang bagi memberi manfaat dan membantu golongan sasar," katanya.