Pasangan kekasih rosakkan kereta milik individu diberkas

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

AMPANG - Berang dimarahi seorang lelaki kerana mabuk dan membuat bising, sepasang kekasih bertindak merosakkan kereta milik mangsa dalam kejadian di Taman Lembah Maju, Pandan Indah di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua suspek berumur lingkungan 45 tahun itu bagaimanapun diberkas pada Ahad.

"Empat tayar kereta jenis Mercedes Benz A-200 milik mangsa yang diletakkan di hadapan rumahnya itu telah dibocorkan selain dua lampu belakang pecah dan keseluruhan bahagian kereta tersebut bercalar kira-kira jam 8.30 pagi pada Sabtu.

"Siasatan awal yang dijalankan mendapati kes berpunca daripada tindakan mangsa yang memarahi kedua-dua suspek sebelum kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, rentetan kejadian membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek di sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian pada Ahad.

"Serbuan dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang kira-kira jam 11 malam itu turut merampas kereta yang dipercayai digunakan suspek.

"Selain itu turut dirampas adalah objek yang digunakan oleh suspek untuk melakukan perbuatan khianat iaitu pemutar skru dan kunci kereta," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis benzo.

"Semakan dijalankan mendapati suspek lelaki berkerja sebagai mekanik kereta di Cheras dan mempunyai tiga rekod lampau jenayah manakala suspek wanita yang tidak berkerja mempunyai satu rekod lampau jenayah.

"Kedua-dua suspek direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.