Penampilan sulung Ronaldo bantu kemenangan Al Nassr

Ronaldo
Ronaldo
A
A
A

CRISTIANO Ronaldo melakukan penampilan sulung buat kelab Arab Saudi, Al Nassr menentang Ettifaq dalam aksi Liga Pro Saudi pada Isnin.

Walaupun gagal menjaringkan sebarang gol, penyerang Portugal itu membantu Al Nassr dalam kemenangan 1-0 ke atas pasukan lawan dan kembali berada di kedudukan teratas Liga Pro Saudi.

Pengendali Al Nassr, Rudi Garcia menyifatkan Ronaldo memberikan rentak positif kepada pasukan untuk melakar kemenangan dalam perlawanan tersebut.

"Ia adalah nilai tambah positif apabila anda mempunyai pemain seperti Ronaldo kerana dia membantu mengalih perhatian pemain pertahanan, itulah yang menyebabkan kami berjaya mendapat gol.

"Hari ini kami mencipta peluang untuknya dan meminta pemain mempelbagaikan permainan antara dia dan Talisca. Kami juga tidak lupa bahawa dia menyertai (perlawanan pameran menentang) Paris Saint Germain dan tidak mendapat rehat yang cukup.

"Walaupun dengan kehadiran Ronaldo, bukan mudah untuk memenangi Liga Saudi kerana pasukan lain juga memiliki kemampuan dan kekuatan tersendiri," katanya.

Dalam perlawanan itu, Anderson Talisca meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-31.