Arsenal terlalu padu buat Manchester United

Nketiah muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.
Nketiah muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.
A
A
A

PENDAHULU Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal membuktikan penampilan kelab utara London musim ini bukan biasa-biasa seperti musim sebelumnya.

Keupayaan luar biasa itu dijelmakan The Gunners ketika bangkit ketinggalan untuk menewaskan gergasi Inggeris yang sedang meningkat naik Manchester United, 3-2 di Stadium Emirates pada Isnin.

Bagaimanapun, anak buah Mikel Arteta terlebih dulu dikejutkan jaringan awal tonggak prolifik The Red Devils, Marcus Rashford pada minit ke-17 untuk skuad kendalian Erik Ten Hag memimpin perlawanan.

Namun, kedudukan itu tidak kekal lama apabila Eddie Nketiah menyamakan kedudukan pada minit ke-24 untuk kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan terikat 1-1.

Babak kedua penyerang England, Bukayo Saka meletakkan tuan rumah memimpin perlawanan dengan gol pada minit ke-53.

Anak buah Ten Hag yang tidak berputus asa kemudiannya menyamakan kedudukan hasil tandukan padu Lisandro Martinez pada minit ke-59.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Nketiah muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.

Kemenangan dramatik tersebut menyaksikan Arsenal kembali memimpin liga dengan kelebihan lima mata mengatasi penyandang juara Manchester City yang menewaskan Wolves, 3-0 di Stadium Etihad sebelum itu.