Malaysia ada ramuan terbaik benam Sepanyol

Aksi antara Malaysia dan New Zealand di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India pada Khamis. - Foto Hockey India
Aksi antara Malaysia dan New Zealand di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India pada Khamis. - Foto Hockey India
A
A
A

PEMAIN tengah, Mohamad Ashran Hamsani optimis skuad hoki negara mampu melepasi halangan Sepanyol apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi penentuan ke suku akhir Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India, Ahad ini.

Ashran berkata, keyakinan itu hadir berdasarkan pertemuan memberangsangkan pada aksi persahabatan kedua-dua pasukan sebelum kejohanan itu bermula biarpun skuad negara tewas 2-3 di tangan pasukan ranking kelapan dunia itu.

"Kita telah menjalani aksi pemanas badan bertemu mereka jadi sedikit sebanyak mengetahui corak permainan mereka.

"Namun apa yang penting sekarang adalah untuk memikirkan penerapan taktikal terbaik untuk digunakan pada perlawanan itu nanti," katanya menerusi video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media pada Sabtu.

Ashran yang menuntut rakan sepasukan bangkit daripada kekalahan di tangan Sepanyol baru-baru ini berkata, skuad negara kini mempunyai ramuan terbaik untuk mencipta kemenangan ke atas pasukan lawan itu.

"Kita akan berbincang mengenai disiplin, tumpuan penuh, elakkan kesilapan selain memastikan taktikal menyerang dan taktikal bertahan dapat diperbaiki," katanya.

Pada Khamis, skuad kendalian Arul Selvaraj yang menduduki ranking kesembilan dunia, menewaskan New Zealand 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan C.

Kemenangan itu adalah yang kedua buat Malaysia pada Piala Dunia 2023 selepas menewaskan Chile, 3-2 sekali gus menyaksikan skuad negara menamatkan saingan Kumpulan C di tempat kedua di belakang Belanda.

Secara keseluruhan, Malaysia pernah bertemu Sepanyol sebanyak 18 kali dengan pasukan negara hanya melakar tiga kemenangan dan dua keputusan seri manakala selebihnya dimenangi pasukan lawan. - Bernama