Chris Hipkins disebut-sebut PM baharu New Zealand

Chris Hipkins - Foto AFP
Chris Hipkins - Foto AFP
A
A
A

ANKARA - Menteri Pendidikan New Zealand, Chris Hipkins disebut-sebut sebagai calon pengganti Jacinda Ardern yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, lapor Agensi Anadolu Agency memetik media tempatan pada Sabtu.

Parti Buruh dijangka mengesahkan pencalonan Hipkins pada Ahad memandangkan beliau calon tunggal untuk jawatan itu, menurut Radio New Zealand (RNZ).

Sepanjang berkhidmat dalam kabinet Arden, Hipkins, 44, pernah berkhidmat sebagai menteri pendidikan, polis, kesihatan awam dan menteri yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan tindak balas Covid-19.

Beliau juga merupakan ketua dewan Parti Buruh di Parlimen.

"Dengan rasa rendah hati dan saya amat menghargainya. Namun masih ada beberapa lagi proses perlu dilalui. Mesyuarat akan diadakan esok untuk pengundian rasmi. Saya tidak mahu terlalu menaruh harapan,” kata Hipkins.

Hipkins akan berkhidmat sebagai Perdana Menteri baharu untuk kira-kira lapan bulan memandangkan pilihan raya umum dijadual diadakan pada Oktober.

Pada Khamis, Jacinda Ardern membuat kejutan apabila mengumumkan yang beliau akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri berkuat kuasa 7 Februari dan New Zealand bakal mengadakan pilihan raya umum pada 14 Oktober tahun ini.

Ardern, 42, turut mengumumkan yang beliau tidak akan bertanding semula. - Bernama