Operasi JPJ Pulau Pinang tidak terjejas

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid ketika sidang media khas di Ibu Pejabat JPJ, hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid ketika sidang media khas di Ibu Pejabat JPJ, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang tidak terjejas berikutan penahanan 24 orang penguat kuasa negeri itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Beliau berkata, JPJ Pulau Pinang telah diarahkan untuk melaksanakan operasi seperti biasa dengan sokongan JPJ Kedah dan Perak bagi mengisi kekosongan tersebut.

"Saya mahu semua zon utara bekerjasama dan janganlah anggap ini sebagai satu bebanan kepada JPJ. Kita tidak mahu dengan penahanan ini JPJ dilihat sebagai lumpuh," katanya pada sidang media mengenai penahanan tersebut, di sini hari ini.

Shaharuddin berkata langkah itu diambil bagi memastikan sasaran kutipan hasil JPJ bagi tahun ini iaitu sebanyak RM4.3 bilion tidak terjejas memandangkan Pulau Pinang merupakan antara penyumbang tertinggi dengan purata kutipan RM155 juta setahun.

Dari segi kekuatan anggota, katanya seramai 139 orang daripada keseluruhan 457 perjawatan di JPJ Pulau Pinang adalah penguat kuasa yang terlibat dengan operasi. - Bernama

Artikel Berkaitan: